Memorial Tun Abdul Razak telah dibuka dengan rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Mahathir Mohamad pada 6 Mei 1982. Tujuan Memorial ini dibuka adalah untuk memperingati dan mengenang segala jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Abdul Razak kepada bangsa dan negara.
Galeri Interaktif ini diilhamkan adalah untuk menjadikan bahan-bahan yang bersifat pegun ataupun statik dapat dilihat oleh pengunjung sebagai satu bahan yang dinamik dan memberi impak kepada pengunjung dari segi penyampaian maksud dan pengetahuan sesuatu bahan dengan lebih jelas dan mudah difahami.
Jika dilihat dari segi konteks pemahaman dan tarikan masa kini, sesuatu aktiviti yang melibatkan paparan maklumat dalam bentuk visual dan interaktif mudah menarik minat khususnya golongan remaja.
Memorial Tun Abdul Razak dipilih sebagai tempat permulaan tercetusnya idea ini adalah sempena 40 tahun memperingati pemergian Bapa Pembangunan Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak bagi ‘menghidupkan’ kembali kisah beliau sebagai imbauan pengunjung muda dan juga pengunjung antarabangsa.
Teknologi yang digunakan untuk aplikasi Galeri Interaktif ini adalah dengan menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) yang menggabungkan Realiti dan Maya. Kaedah yang diterapkan dalam Galeri Interaktif ini adalah dengan menghalakan kamera tablet yang disediakan kepada bahan bergambar ataupun bahan statik yang telah ditandakan mempunyai keupayaan imbasan. Imbas sahaja bahan tersebut dan pengunjung boleh melihat perkara yang dilakukan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dalam bentuk video mengikut peristiwa, keadaan dan kawasan tersebut.
Diharapkan usaha ini dapat menimbulkan rasa cinta kepada negara dan juga lebih mengenali peribadi pemimpin-pemimpin Malaysia yang berwibawa yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia khasnya kepada Allahyarham Tun Abdul Razak.